Bazar Ramadhan di pusat bandar Sandakan kembali memeriahkan kedatangan bulan puasa yang penuh berkat dengan pelbagai juadah untuk keperluan berbuka boleh didapati di situ.
Selain lokasinya yang sangat strategik terletak di Jalan Pantai 1, bazar ini memang terkenal di kalangan warga Sandakan terutamanya masyarakat Islam sejak mula-mula dibuka lagi kerana juadah beraneka jenis memudahkan pengunjung membuat pilihan.
Kepada penggemar nasi kuning istimewa, ikan bakar, ayam golek, sayap ayam, martabak jawa, coto, bakso dan kuih-muih tempatan bolehlah berkunjung ke bazar seawal jam 1 tengahari sehingga waktu berbuka puasa.
Tinjauan petang Sabtu lalu di mana umat Islam mulai berpuasa di 1 Ramadhan mendapati seperti biasa peniaga memulakan perniagaan mereka di bazar dengan menyediakan bermacam-macam juadah berbuka sepanjang sebulan ini.
Selain juadah makanan yang dijual, air minuman seperti air tebu, air kelapa muda dan air pelbagai perisa turut menarik perhatian pengunjung.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgKuIdtfkq2BN5pwSp53ucxm4EvbI6M7o0y17IiLM6vLfoSfe3uW6WQ3dpQYeeFfychrCztsgessBRaJYajp-7ULdReja_dzpNP0YkD5UkD6uUTTi_VMxIAuTEogBZMlo4CqBmdZ71BLKQ/s640/18742399_1916366531913182_1468189856_o.jpg)
Juga menjadi tarikan kepada bazar ini apabila terdapat peniaga yang menjual 'Cendol Santan Gula Bakar' pastinya menjadi pilihan untuk berbuka nanti.
Cendol ini dijangka laris jualannya kerana rasa cendol yang sedap melengkapkan menu hidangan berbuka puasa.
Di salah satu lot gerai, terdapat sebuah bazar yang menjual ayam goreng istimewa dikenali sebagai 'Intan Fried Chicken' dan tidak asing kepada pengunjung setia bazar pusat bandar itu.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiLJN9bUW2g4PR2RBXaNEcEI9dXgW2U-7ivzw2ReuXeTEuDRXdltWVVcFZ3PF7xBc5iDJ_VpSVj4jP4FtWuR008v7cNo6QAD2Hdvtf5AW0-UOsoT6gc4ELtXHKpL4L3zW4h9GyVhmT7Qhc/s640/18742595_1916366565246512_662945361_o.jpg)
Peniaganya, Haji Ikram memberitahu dia sudah mula berjualan di situ sejak tahun 2006 lagi dan sambutan orang ramai amat baik.
"Syukur alhamdullah, hidangan ayam goreng istimewa iaitu 'Intan Fried Chicken' sentiasa menjadi pilihan pengunjung untuk berbuka puasa.
"Sekurang-kurangnya dapat juga menambah pendapatan keluarga di hari baik dan bulan baik ini walaupun ketiadaan isteri yang sudah pergi buat selama-lamanya namun saya tetap teruskan perniagaan yang diwarisi ini dengan dibantu anak-anak," katanya semasa ditemui di lot bazar beliau. - Sumber New Sabah Times