Selamat Datang Ke Blog Mangan Mangan With Linz.

Tag Line

Semuanya Pasal Makanan... Sedap Bah !!!

Sedap Bah !!! Dorang Bilang...




Monday, June 13, 2016

Bazar Ramadhan Jalan Pantai 1 di pusat bandar Sandakan gamit tumpuan pengunjung


APABILA anda berkunjung ke Sandakan terutamanya di Bulan Ramadan al - Mubarak ini, jangan lupa datang bertandang ke Bazar Ramadan Bandar yang terletak di Jalan Pantai Pusat Bandar kerana pelbagai jenis sajian istimewa untuk juadah berbuka puasa dijual kepada pengunjung.




Bagi warga bandar tidak hairan, setiap kali tibanya Ramadan berpusu-pusu mengunjungi bazar yang dibuka seawal jam 1 tengahari bagi mendapatkan bermacam-macam juadah menyelerakan.

Bazar yang sudah sinonim kepada masyarakat terutamanya umat Islam amat terkenal kerana juadah istimewanya selain harga pula dijual begitu berpatutan sekali gus memenuhi citarasa pengunjung.

Seperkara yang menarik juga adalah kedudukan sangat strategik memudahkan sesiapa saja singgah dan kalau kita lihat seawal beroperasi sehingga tibanya waktu berbuka, tidak putus-putus dengan pengunjung yang datang membeli juadah berbuka puasa.

 

 
Tinjauan yang dibuat mendapati memang meriah apabila berkunjung ke situ memandangkan begitu banyak juadah berbuka puasa sampai tidak tahu lagi apa nak dibeli.
Boleh dikatakan dari hujung ke hujung lot gerai menyajikan pelbagai jenis sajian untuk berbuka seperti sayap ayam, coto makassar, ikan panggang, ayam golek, murtabak nusantara, murtabak jawa, roti john, air minuman pelbagai perisa, air kelapa muda segar dan air tebu termasuk kuih-muih tradisional.
 
Kadangkala ada sesetengah pengusaha gerai bazar tidak menang tangan melayan karenah pengunjung yang datang membeli juadah pilihan untuk di bawa pulang untuk berbuka bersama keluarga.
Sebab itulah, pengunjung ke bazar ini tidak pernah putus sentiasa singgah untuk membeli mungkin kerana aspek kebersihannya yang terjamin selain lebih tersusun sekali gus memuaskan hati para pengunjung.
 

Jadi, jangan lupa sepanjang bulan Ramadan ini sila berkunjung ke Bazar Ramadan Bandar yang pastinya menambat selera anda dengan pelbagai jenis juadah berbuka puasa yang enak dan sedap-sedap belaka.
 


Dalam pada itu, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Haji Mohd Hamsan Awang Supain menasihatkan para peniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan sepertimana taklimat oleh pihaknya supaya menjaga kebersihan persekitaran bazar dan mempastikan segala makanan / minuman yang dijual dalam keadaan bersih dan selamat bagi mengelak keracunan makanan kepada pembeli.



Katanya, setiap pengerai diminta mengumpul / mengasingkan sebarang sisa pepejal (sampah organik) untuk tujuan membantu program RCP di mana konsisi akan datang bagi mengutip sampah-sampah berkenaan pada setiap hari.


"Dan juga diingatkan kepada semua peniaga agar tidak membiarkan peralatan menjual di tapak bazar selepas berniaga jika berlaku ia akan disita oleh pihak Penguatkuasa MPS," jelasnya dalam satu kenyataan kelmarin.


Jumlah lot-lot Bazar Ramadan di seluruh daerah ini ialah 625 buah, dengan lot ramadan bandar (206) pemaju MPS; lot tender Taman Fajar Batu 7 (90) pemaju MPS; Batu 8 (depan Dewan Sibuga Jaya) 100 lot pemaju MPS; Batu 16 Gum-Gum (depan Masjid) 30 lot pemaju JKK Kg Gum-Gum; Flat Karamunting MPS 40 lot pemaju JKDB Flat Karamunting; Bandar Nam Tung 30 lot pemaju Mukin N44 Karamunting; Taman Mawar Batu 6, 60 lot pemaju JKDB Taman Mawar; Bazar Ramadan Masjid Indah Jaya 20 lot pemaju AJK Masjid Nurussyakirin dan Giant Superstore dengan 49 lot pemaju Mohd Hasmin Astan. - Sumber: New Sabah Times

Friday, June 10, 2016

Bazar Ramadhan Taman Fajar Batu 7 saji pelbagai juadah istimewa untuk berbuka puasa

 
Bulan mulia, Ramadhan al - Mubarak tiba lagi. Umat Islam seluruh dunia menantikan bulan yang pastinya menjanjikan ganjaran pahala apabila menjalankan ibadah puasa sambil beramal ibadah sebagaimana dituntut.


Yang pasti juga, kesucian bulan Ramadan ini bukan sahaja meningkatkan ketaqwaan insan kepada Allah SWT tetapi memberi peluang meningkatkan ekonomi masyarakat. Ini kerana, seperti sedia maklum setiap kali tibanya puasa maka gerai-gerai bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang menjual pelbagai jenis sajian juadah berbuka puasa.

 
Tentu sekali peluang berniaga terbuka luas yang membolehkan sesiapa saja untuk menjalankan perniagaan bagi menambah pendapatan di sepanjang bulan yang baik ini. Tinjauan New Sabah Times di bandar Sandakan pada hari pertama Ramadan mendapati orang ramai terutamanya umat Islam yang berpuasa sudah mulai mengunjungi beberapa bazar untuk membeli keperluan berbuka puasa. Tidak kurang juga hebatnya Bazar Ramadan di Taman Fajar, Batu 7 apabila seawal jam 2 petang lagi sudah mulai dibanjiri para pengunjung.


Yang menarik, pelbagai menu juadah berbuka puasa dijual sekali gus menambat selera pengunjung-pengunjung yang singgah ke bazar berkenaan. Antara menjadi tarikan utama apabila orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan Taman Fajar ialah beberapa gerainya menarik perhatian pengunjung seperti gerai-gerai menjual minuman segar pelbagai perisa.

 
Apabila anda bertandang jangan lupa mengunjungi gerai yang menjual air minuman segar dengan bermacam perisanya seperti Vanilla; Chocolate; Mocha; Tiramisu; Coconut; White Coffee; Blue Ice; Durian; Peppermint dan banyak lagi. Dalam pada itu, turut menambat selera adalah berkenaan gerai yang menjual Ikan Berempah Goreng Daun dijual antara RM5 dan RM12 mengikut saiz.

 
 
Pemilik gerai yang memasak di gerai sambil dibantu anaknya turut menjual juadah berbuka puasa iaitu Ayam Penyet, dengan harga RM6 sebungkus. Selain Nasi Ayam, Mayonis Ayam dan Martabak Jawa Ayam / Daging serta Sardin, banyak lagi juadah berbuka puasa yang enak dan menyelerakan dijual di bazar tersebut. Tunggu untuk artikel yang seterusnya, penulis akan mengunjungi beberapa Bazar Ramadan yang popular di bandar Sandakan sepanjang bulan puasa ini. - Sumber: New Sabah Times

Wednesday, June 1, 2016

Restoran Zaara Crab di Alam Mesra, KK menghidangkan menu seafood yang enak dan menyelerakan

 
Entri kali ini lebih tip top kerana Linz menampilkan selebriti yang punya aura dan boleh pergi jauh siapa lagi kalau bukan Wawa El_Daimond dari bandaraya Kota Kinabalu.
 
 
 
Selebriti yang cantik jelita dan tinggi lampai ini berkongsi dengan Blog Mangan-Mangan semasa mengunjungi sebuah restoran yang sedang viral di ibu negeri.
 
 

Wawa berkunjung ke Restoran Zaara Crab yang terletak di Alam Mesra berhadapan 1Borneo. Restoran ini mesti dikunjungi kalau kita datang ke Kota Kinabalu kerana keadaannya yang selesa dan nampak eksklusif bertemakan warna purple, penghawa dingin bagi ruangan dalam serta tempat terbuka di luar.
 

 Ia menghidang sajian makanan laut seperti kerang bakar, sotong goreng tepung, udang masak lemak cili padi dan pelbagai lagi memang berbaloi dengan harga yang begitu berpatutan.
 
 

 Harga makanan sekitar RM 19.90 bagi buffet siang dengan percuma air limau / free floor. Malam pula, set hidangan terdapat dalam sekitar RM40 - RM150 mengikut set yang dipilih.

 Bah ... kalau anda datang berkunjung ke Kota Kinabalu jangan lupa singgah makan di Zaara Crab yang menghidangkan makanan seafood yang sedap dan menyelerakan , pasti nak datang lagi!